Dah Pencen Tapi Masih Kena Cari Kerja? Mungkin Persaraan Anda Belum Dirancang
Ramai orang merancang bila mereka mahu pencen. Tetapi tidak ramai yang benar-benar merancang bagaimana kehidupan mereka selepas pencen. Ada orang yang selepas pencen masih perlu mencari kerja.
Ada yang mula berniaga…
Ada yang melakukan kerja sambilan…
Bukan kerana mereka mahu terus bekerja, tetapi kerana duit pencen atau sumber pendapatan selepas bersara tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seperti yang mereka perlukan.
Pada masa yang sama, ada juga yang mempunyai simpanan yang agak baik tetapi menghadapi masalah lain.
Mereka tidak tahu apa yang mahu dilakukan dengan masa yang ada.
Bangun pagi, makan, tengok TV, tidur…
Esok ulang lagi…
Jadi, adakah persaraan sebenarnya hanya tentang berhenti bekerja?
Sebenarnya Tidak..
Persaraan ialah satu fasa kehidupan baharu yang memerlukan dua perkara penting:
Perancangan kewangan dan perancangan kehidupan.
Sebab itu persoalan yang perlu kita fikirkan sebelum bersara bukan sekadar:
“Bila aku nak pencen?”
Tetapi:
“Bila dah pencen nanti, duit cukup tak?”
Dan satu lagi:
“Aku nak buat apa dengan masa aku nanti?”
01 — Persaraan Bukan Sekadar Berhenti Bekerja
Ramai orang mula merancang persaraan apabila umur semakin hampir dengan tarikh pencen.
Mereka mula bertanya:
- Berapa pencen saya nanti?
- Berapa simpanan saya?
- Cukup ke duit KWSP?
- Rumah dah habis bayar ke belum?
- Kereta masih ada loan?
- Apa nak buat selepas pencen?
Sebenarnya, soalan-soalan ini sepatutnya ditanya jauh lebih awal.
Sebab persaraan bukan satu tarikh.
Ia adalah perubahan daripada kehidupan dengan pendapatan aktif kepada kehidupan yang mungkin bergantung kepada simpanan, pencen, pelaburan atau sumber pendapatan lain.
Dan perubahan ini boleh memberi kesan besar kepada cash flow bulanan.
Sebab itu, perancangan persaraan perlu bermula dengan satu perkara asas:
Fahami berapa banyak wang yang sebenarnya diperlukan untuk menjalani kehidupan selepas bersara.
02 — Jangan Kira Pencen Berdasarkan Gaji Sekarang
Ini antara kesilapan yang sering berlaku.
Kita mungkin berfikir:
“Sekarang gaji aku RM15,000. Jadi bila pencen nanti aku mesti perlukan RM15,000 juga.”
Tidak semestinya.
Apa yang lebih penting ialah cash flow sebenar.
Contohnya:
Semasa bekerja, Gaji bersih: RM15,000
Komitmen:
- Rumah
- Kereta
- Personal financing
- Kad kredit
- Hutang lain
Katakan jumlah komitmen ialah: RM10,000
Maka baki yang benar-benar boleh digunakan untuk kehidupan ialah: RM5,000
Jadi apabila kita merancang persaraan, persoalan sebenar bukan:
“Macam mana nak pastikan pencen aku RM15,000?”
Tetapi:
“Berapa sebenarnya yang aku perlukan untuk mengekalkan kehidupan yang aku mahu selepas bersara?”
Ini ialah perbezaan antara melihat pendapatan dengan melihat cash flow.
Dan bagi perancangan persaraan, kedua-duanya tidak semestinya sama.
#03 — Salah Satu Strategi Paling Penting: Kurangkan Komitmen
Persaraan tidak semestinya memerlukan Pendapatan yang lebih tinggi.
Kadang-kadang ia memerlukan..Komitmen yang lebih rendah.
Bayangkan situasi berikut…
Semasa bekerja Pendapatan bersih: RM15,000
Komitmen: RM10,000
Baki:RM5,000
Kemudian selepas bersara:Pendapatan persaraan RM12,000
Tetapi komitmen telah berjaya dikurangkan kepada: RM3,000
Baki: RM9,000
Pendapatan sudah turun daripada RM15,000 kepada RM12,000.
Tetapi wang yang tinggal untuk kehidupan meningkat daripada RM5,000 kepada RM9,000.
Inilah sebabnya pengurusan hutang dan komitmen merupakan sebahagian penting dalam perancangan persaraan.
Kita tidak semestinya perlu mengejar pendapatan persaraan yang setinggi mungkin.
Kadang-kadang strategi yang lebih praktikal ialah:
Kurangkan apa yang perlu dibayar setiap bulan.
Perlukan Medical Kad : Mohon Di Sini
#04 — Hutang Rumah Patut Masuk Dalam Retirement Planning
Bagi kebanyakan keluarga, pinjaman rumah merupakan antara komitmen bulanan terbesar.
Bayangkan seseorang memasuki umur persaraan dengan baki pinjaman rumah yang masih panjang.
Pada masa yang sama..
- Loan kereta masih berjalan
- Personal financing masih berjalan
- Kad kredit masih mempunyai baki
- Komitmen keluarga masih tinggi
Pendapatan selepas bersara mungkin terus digunakan untuk membayar komitmen lama.
Sebab itu, hutang rumah patut menjadi sebahagian daripada retirement planning.
Salah satu matlamat yang boleh dipertimbangkan ialah: Retirement Debt-Free Plan
Bukan bermaksud semua orang wajib menjadi zero debt sebelum bersara.Tetapi semakin rendah komitmen hutang yang perlu dibayar setiap bulan, semakin banyak ruang cash flow yang tersedia selepas bersara.
Antara perkara yang boleh dikaji..
- Membuat bayaran tambahan kepada prinsipal
- Menggunakan sebahagian bonus atau pendapatan tambahan
- Mengurangkan tempoh pembiayaan
- Menilai semula struktur pembiayaan
- Menilai sama ada refinance benar-benar membantu
- Mengelakkan hutang baharu yang tidak diperlukan
Dan satu perkara penting..Refinance bukan matlamat. Kalau refinance dibuat, ia sepatutnya mempunyai sebab yang jelas dalam strategi kewangan kita.
Kadang-kadang refinance mungkin membantu, Kadang-kadang strategi bayaran tambahan terhadap pinjaman sedia ada mungkin lebih sesuai.
Yang penting ialah matlamat akhirnya adalah mengurus dan mengurangkan beban hutang.
#05 — Bina Retirement Emergency Fund
Perancangan persaraan bukan hanya tentang simpanan untuk kehidupan harian.
Kita juga perlu memikirkan perkara yang tidak dijangka.
Contohnya:
- Kecemasan kesihatan
- Pembaikan rumah
- Masalah kenderaan
- Keperluan keluarga
- Perbelanjaan kecemasan lain
Sebab itu saya suka konsep.. Retirement Emergency Fund
Dana kecemasan khas yang berasingan daripada simpanan persaraan utama.
Jumlahnya tidak semestinya sama untuk semua orang.
Ia bergantung kepada..
- Perbelanjaan bulanan
- Tanggungan
- Keadaan kesihatan
- Komitmen
- Sumber pendapatan lain
- Gaya hidup
Sebagai contoh, seseorang mungkin memilih untuk mengetepikan RM50,000 sebagai dana kecemasan persaraan.
Tetapi RM50,000 bukan angka wajib untuk semua orang.
Yang penting ialah mempunyai dana yang cukup untuk menghadapi kejutan kewangan tanpa terus bergantung kepada hutang.
Bayangkan sudah bersara dan tiba-tiba memerlukan RM10,000 untuk satu kecemasan.
Kalau tiada dana kecemasan, pilihan yang ada mungkin..
Jual pelaburan…
Keluarkan simpanan persaraan…
Atau lebih buruk lagi…
Buat hutang baharu….
Sebab itu dana kecemasan perlu menjadi sebahagian daripada perancangan persaraan…
#06 — Persaraan Bukan Hanya Tentang Duit
Ini bahagian yang ramai orang terlupa.
Kita selalu bertanya…
“Berapa duit aku perlukan selepas pencen?”
Tetapi kita jarang bertanya:
“Apa aku nak buat bila dah tak bekerja?”
Ketika bekerja, kehidupan kita mempunyai struktur.
Bangun pagi…
Pergi kerja…
Jumpa orang…
Selesaikan masalah…
Balik rumah…
Hujung minggu bersama keluarga…
Tiba-tiba apabila pencen, semua struktur itu hilang.
Sebab itu sebelum bersara, cuba sediakan sekurang-kurangnya tiga jenis aktiviti yang boleh mengisi kehidupan…
1. Aktiviti fizikal
Contohnya..
- Bersenam
- Berjalan
- Berkebun
- Hiking
- Berbasikal
- Travel
2. Aktiviti mental
Contohnya..
- Membaca
- Menulis
- Belajar kemahiran baharu
- Mengajar
- Membuat projek peribadi
- Menjalankan perniagaan kecil
3. Aktiviti sosial
Contohnya..
- Aktiviti kemasyarakatan
- Sukarelawan
- Aktiviti masjid
- Persatuan
- Komuniti
- Meluangkan masa dengan keluarga
Jangan tunggu sehingga hari pencen baru nak cari aktiviti.
Mulakan sebelum bersara.
Supaya apabila tiba masa untuk meninggalkan pekerjaan, kehidupan kita tidak berhenti bersama pekerjaan tersebut.

#07 — Jangan Bergantung Kepada Satu Sumber Pendapatan Sahaja
Persaraan tidak semestinya bermaksud kita perlu mempunyai satu sumber pendapatan sahaja.
Jika keadaan dan kemampuan mengizinkan, kita boleh mempunyai beberapa sumber seperti:
- Pencen
- Dividen
- Pendapatan sewa
- Perniagaan
- Royalti
- Konsultasi
- Kerja sambilan
- Pendapatan daripada aset
Namun matlamatnya bukan untuk memastikan kita bekerja tanpa henti selepas pencen.
Sebaliknya, ia tentang membina fleksibiliti kewangan.
Contohnya, seseorang yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam satu bidang mungkin tidak perlu bekerja sepenuh masa lagi.
Mungkin cukup dengan..
- Mengajar beberapa jam seminggu
- Membuat konsultasi
- Menulis
- Mengurus perniagaan kecil
- Berkongsi kemahiran dengan generasi muda
Dengan cara ini, kerja selepas bersara menjadi pilihan, bukan satu-satunya cara untuk membayar bil.
Dan itu ialah perbezaan yang besar.
#08 — Rancang Kehidupan, Bukan Sekadar Akaun Bank
Perancangan persaraan yang baik bukan sekadar melihat jumlah wang dalam akaun.
Cuba jawab soalan-soalan ini..
Kewangan..
- Berapa perbelanjaan bulanan saya selepas bersara?
- Berapa hutang yang masih ada?
- Adakah rumah masih mempunyai pinjaman?
- Berapa dana kecemasan yang diperlukan?
- Apakah sumber pendapatan selepas bersara?
Perlindungan..
- Adakah saya mempunyai perlindungan kesihatan yang sesuai?
- Jika berlaku masalah kesihatan besar, adakah simpanan persaraan saya akan terjejas?
Kehidupan
- Di mana saya mahu tinggal?
- Apa yang saya mahu lakukan setiap minggu?
- Dengan siapa saya mahu meluangkan masa?
- Apa aktiviti yang mahu saya teruskan?
- Apakah perkara yang selama ini saya tidak sempat lakukan ketika bekerja?
Persaraan yang baik bukan hanya mempunyai wang yang cukup.
Ia juga mempunyai sebab untuk bangun setiap pagi.
Baca Lagi : Duit Emergency Untuk Isteri Bila Suami Meninggal
Retirement Debt-Free Plan: Sasaran Yang Boleh Mula Dibina Sekarang
Kalau anda masih mempunyai 10, 15 atau 20 tahun sebelum bersara, sebenarnya masih banyak masa untuk memperbaiki kedudukan kewangan.
Tidak perlu cuba selesaikan semuanya dalam satu masa.
Kita boleh pecahkan kepada beberapa peringkat.
Fasa 1 — Faham kedudukan
Senaraikan:
- Semua hutang
- Semua komitmen
- Simpanan
- Pelaburan
- Perlindungan
- Pendapatan semasa
Fasa 2 — Kurangkan tekanan cash flow
- Kenal pasti hutang dan komitmen yang paling membebankan.
- Kemudian bina strategi untuk mengurangkannya.
Fasa 3 — Bina dana kecemasan
- Sediakan dana yang boleh digunakan tanpa perlu membuat hutang baharu.
Fasa 4 — Perkukuhkan sumber pendapatan
- Kenal pasti aset, kemahiran atau sumber pendapatan yang boleh membantu selepas bersara.
Fasa 5 — Rancang kehidupan
Jangan hanya fikir..
“Berapa banyak duit aku nak kumpul?”
Fikir juga:
“Aku nak jadi siapa dan buat apa selepas aku bersara?”
Persaraan Yang Selesa Bermula Jauh Sebelum Hari Persaraan
Kita bekerja selama puluhan tahun.
- Kita membayar hutang.
- Membesarkan anak-anak.
- Membina rumah.
- Mengumpul simpanan.
- Mengejar kerjaya.
- Dan memenuhi pelbagai tanggungjawab.
Jadi apabila sampai masa untuk bersara, sepatutnya kita tidak perlu memulakan satu lagi perlumbaan untuk mencari wang sekadar untuk meneruskan kehidupan.
Keselesaan selepas bersara tidak berlaku secara kebetulan.
Ia biasanya merupakan hasil daripada keputusan yang dibuat bertahun-tahun sebelumnya.
- Mengurangkan hutang.
- Mengawal gaya hidup.
- Membina simpanan.
- Menyediakan dana kecemasan.
- Menjaga perlindungan.
- Membina sumber pendapatan.
Dan yang paling penting…
Mengetahui kehidupan seperti apa yang kita mahu selepas bersara.
Jangan Sampai Kita Pencen Daripada Pekerjaan, Kemudian Pencen Daripada Kehidupan
Kalau anda masih bekerja hari ini, sebenarnya inilah masa terbaik untuk mula melihat keadaan persaraan anda.
Bukan kerana kita perlu tahu dengan tepat apa yang akan berlaku 10 atau 20 tahun akan datang.
Kita tidak mampu meramalkan semuanya.
Tetapi kita boleh mengetahui kedudukan kita hari ini.
- Berapa hutang?
- Berapa komitmen?
- Berapa simpanan?
- Berapa perlindungan?
- Berapa keperluan bulanan?
- Dan berapa jurang yang masih perlu kita tutup?
Semakin awal kita nampak jurang tersebut, semakin banyak masa yang kita ada untuk memperbaikinya.
Persaraan bukan sekadar berhenti bekerja.
Ia adalah fasa kehidupan yang sepatutnya memberi kita lebih banyak kebebasan terhadap masa, wang dan pilihan hidup.
Dan untuk sampai ke tahap itu, kita perlu merancang lebih awal.
- Kurangkan hutang.
- Urus cash flow.
- Bina simpanan.
- Sediakan dana kecemasan.
- Rancang sumber pendapatan.
- Jaga perlindungan.
Dan jangan lupa merancang apa yang kita mahu lakukan dengan kehidupan kita nanti.
Kerana akhirnya, tujuan bekerja selama puluhan tahun bukan sekadar untuk sampai ke hari persaraan.
Tujuannya ialah supaya apabila hari itu tiba, kita mampu menikmati kehidupan yang telah kita bina.
Semasa bekerja, kita menukar masa untuk mendapatkan pendapatan.
Selepas bersara, gunakan hasil daripada masa yang telah kita korbankan untuk menikmati masa yang masih ada.
Jangan hanya rancang bila anda mahu bersara.
Rancang bagaimana anda mahu hidup selepas bersara.
Sertai Komuniti Bebas Hutang – KLIK SINI
Bijak Wang. Bijak Melindungi.
Zaya Financial
Artikel ini bertujuan sebagai bahan pendidikan umum dan bukan nasihat kewangan atau pelaburan yang disesuaikan secara khusus untuk mana-mana individu. Keperluan persaraan setiap orang adalah berbeza dan perlu dinilai berdasarkan keadaan kewangan, komitmen, risiko serta matlamat masing-masing.
